Maritim Malaysia tahan 12 PATI cuba bolos melalui pesisir Batu Laut

SERAMAI 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di pesisir pantai Batu Laut, Klang, awal pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira jam 2.30 pagi menerusi Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026.

Menurutnya, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi.

“Operasi melibatkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dilaksanakan di darat dan perairan bagi mengekang cubaan kemasukan PATI melalui laluan tidak sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kumpulan itu terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar, dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Indonesia, tiga wanita warga Myanmar serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berusia antara tiga hingga 39 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut dirampas sebuah kereta dipercayai digunakan oleh tekong darat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img