PERMOHONAN mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 bagi pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, permohonan disuarakan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) itu akan diputuskan oleh MTEN dan maklum balas akan diberikan kemudian.
“Saya akan bawa ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti bagi mendapatkan pertimbangan lanjut berhubung permohonan berkenaan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Semalam, GKMM memohon kerajaan mempertimbangkan, pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.
GKMM berkata, pihaknya menerima banyak keluhan dari pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi turut mengambil langkah proaktif bagi memudahkan pengamal media mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa termasuk krisis tenaga global.
“Bermula Rabu minggu hadapan, sesi taklimat berkaitan krisis tenaga global serta sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid.
“Ini bagi membolehkan wartawan sama ada bertugas di Putrajaya hadir secara fizikal atau yang berada di Kuala Lumpur mengikuti secara dalam talian serta mengemukakan soalan,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan akses maklumat lebih menyeluruh selain mengambil kira kekangan logistik dan kos yang dihadapi pengamal media ketika ini.


