POLIS berjaya mengesan pemandu BYD Seal yang meninggalkan lokasi selepas terbabit dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak.
“Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang, kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa bersama bapanya yang berusia 30 tahun dipercayai dirempuh dari belakang oleh BYD Seal ketika trafik bergerak perlahan dari pusat bandar menghala ke Segambut.
Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar Nissan Almera, Toyota Alphard serta Perodua Myvi.
Mangsa yang duduk di tempat duduk belakang Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bapa mangsa mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya menerima rawatan di HKL.
Pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





