MCMC teliti video AI manipulasi saat duka Tun Dr Mahathir

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kandungan media sosial yang dipercayai menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau melalui saat dukacita selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan mengubah rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, mengubah konteks sesuatu kejadian atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah perkara serius.

Lebih-lebih lagi, menurut suruhanjaya itu, penyebaran kandungan sedemikian melibatkan keadaan seseorang yang sedang berdepan kehilangan dan kedukaan.

“MCMC sudah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan berkenaan.

“Jika hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan bahan yang telah dimanipulasi sehingga berpotensi mengelirukan atau memudaratkan pihak lain.

Pengguna media sosial turut dinasihatkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi, selain membuat laporan kepada platform berkenaan atau pihak berkuasa sekiranya mengesan bahan yang disyaki telah dimanipulasi.

MCMC berkata, kemajuan teknologi AI sememangnya membawa manfaat dalam pelbagai bidang, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Perkara itu mendapat perhatian selepas tersebarnya kandungan media sosial yang dipercayai memanipulasi rakaman Dr Mahathir ketika berada dalam suasana dukacita susulan kematian isterinya.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun. Pemergiannya diumumkan oleh pejabat Dr Mahathir, manakala kerajaan memberikan penghormatan pengebumian negara kepada Allahyarham.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1956 selepas berkenalan ketika kedua-duanya mengikuti pengajian perubatan di Singapura dan meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada Ogos lalu.

Penyalahgunaan teknologi AI termasuk menghasilkan kandungan palsu dan deepfake sebelum ini turut menjadi perhatian pihak berkuasa.

Rekod Dewan Negara pada Mac lalu menunjukkan kerajaan mengakui teknologi berkenaan semakin digunakan bagi menghasilkan bahan yang dimanipulasi, termasuk menggunakan imej dan suara tokoh awam.

Kerajaan ketika itu memaklumkan MCMC mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang melibatkan kepentingan awam, jenayah, penyalahgunaan, ancaman dan provokasi, selain bekerjasama dengan pengendali platform media sosial serta agensi penguat kuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here