SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang wanita yang juga isteri orang di Balai Polis Malim, awal bulan ini.
Lim Jun Wei, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menculik wanita berusia 33 tahun daripada jagaan sah suaminya, Azam Mamat, ketika mangsa berada di dalam sebuah kereta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Malim pada jam 1.30 tengah hari, 1 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dipercayai ketika kejadian, wanita terbabit berada di dalam sebuah kereta dan menunggu suaminya yang sedang membuat laporan polis berkaitan kes lain di balai berkenaan.
Tertuduh kemudian dipercayai masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum memandu keluar dari kawasan balai polis.
Wanita itu dikatakan menjerit meminta pertolongan sebelum kenderaan terbabit berhenti di lampu isyarat, yang membolehkan orang awam datang membantu dan menyelamatkannya.
Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam LK Teoh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 22 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.





