Mengapa perlu bongkak apabila dipersoal bahasa negara diketepikan?

Oleh  Kamal Shukri Abdullah Sani

TERKAITN  dengan peristiwa paling baru, dalam satu sidang media berkaitan dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah ditanya tentang tema yang dipilih yang menggunakan bahasa Inggeris.

Melalui video yang ditular jelas memberi gambaran menteri berkenaan berang dengan soalan tersebut dan memberi reaksi spontan terhadap pemberita sebuah akhbar sehingga bersedia untuk menghubungi Ketua Pengarangnya.

 Menteri cuba mempertahankan usaha yang jelas dilihat mengenepikan penggunaan bahasa rasmi negara dalam hal tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang salah atau aneh.

Kita sedang mengeluh akan sikap dan disiplin pelajar yang semakin merosot, membuli, mengugut dan seumpamanya.  Malangnya sikap yang mirip sedemikian turut dimiliki oleh mereka yang berjawatan besar.

Sikap tersebut amatlah dikesali dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri. Kor Ming juga mengakui bahawa bahasa Melayu sudah pastinya dihormati, tetapi sedarkah dia bahawa hormat bukanlah terletak di mulut sahaja kerana lidah tidak pernah bertulang tetapi rasa hormat terhadap bahasa negara, bahasa Melayu wajib dibuktikan dalam amalan oleh setiap kementerian, dalam majlis, slogan, program, kegiatan, taklimat, iklan, brosur dan sebagainya.

 Dalam masa yang sama juga berlaku edaran surat pekeliling, arahan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 29 Oktober 2025, yang jelas mengarahkan semua urusan rasmi kerajaan menggunakan bahasa Melayu walaupun sebenarnya pekeliling dengan nada sedemikian bukanlah kali pertama diedarkan kepada semua kementerian dan jabatan kerajaan.  Telah berkali-kali diedar. Tak tahulah pula kita sejak bila KPKT diberi pengecualian khas dalam hal ini?.

 Menyambut pelancong asing atau antarabangsa bukanlah lesen mutlak untuk mengenepikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.  Tidakkah menteri sedar bahawa bahasa Melayu juga boleh menjadi satu produk untuk memperkenal bahasa dan budaya rakyat negara ini?

 Pengalaman penulis di beberapa negara asing bukan berbahasa Inggeris di Eropah dan Jepun misalnya, jelas negara tersebut tidak menyahkan bahasa mereka walaupun dalam majlis rasmi dan acara antarabangsa.

Paling-paling usaha mereka turut menyediakan terjemahan sama ada dalam ucapan, brosur, taklimat, iklan dan seumpamanya.  Tidaklah pula sehingga bahasa negara mereka diketepikan begitu sahaja seperti yang semakin kerap dilakukan oleh menteri dan pimpinan negara kita.

 Sewajibnya menteri menjadi contoh atau teladan yang baik dalam hal menghormati bahasa negara ini dan bukan sebaliknya.  Sikap tidak menghormati bahasa negara tidak mustahil akan menjadi ikutan pihak awam, swasta dan pihak yang memang menanti peluang untuk menyahkan penggunaan dan penghormatan akan bahasa negara ini dalam keadaan rasmi apatah lagi tidak rasmi.

Kita percaya usaha mengetengahkan bahasa negara  walaupun dalam slogan, iklan misalnya turut direstui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 Justeru kita amat berharap tiada menteri atau pemimpin lain yang lebih sudu daripada kuah untuk mendewakan bahasa Inggeris atas alasan klise “antarabangsa” sedangkan dalam acara sebegitulah sepatutnya bahasa dan budaya negara diketengahkan untuk tontonan dan pendengaran awam khususnya pelancong antarabangsa.

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

 


 

UNDILAH

[socialpoll id=”2974793″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img