Mesej tersirat Hadi kepada Bersatu, Muhyiddin…kalau tak faham lagi tak tahu lah

ANALISIS

PERSOALAN sama ada Pas mahu menerajui negara atau tidak dan adakah Pas bersetuju  Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi calon Perdana Menteri atau tidak, ‘terjawab secara tidak langsung’ hari ini melalui ucapan dasar dan sidang media oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapan dasarnya, Abdu Hadi secara terbuka menyatakan Pas bersedia memimpin Malaysia yang bermasyarakat majmuk, berpegang pada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan pentafsiran Islam yang sebenar.

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan antara parti itu dengan Bersatu dikatakan ‘panas’ berikutan tindakan Bersatu menamakan  Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri daripada Bersatu.

Malah kenyataan itu juga dizahirkan selepas Dewan Pemuda Pas pada Jumaat lalu meluluskan usul Pas menerajui PN.

Ketika diminta mengulas lebih lanjut berhubung ucapan dasarnya pada sidang media, Abdul Hadi yang turut ditanya mengenai calon Perdana Menteri daripada Pas menjawab;

‘’Kita bersedia untuk memimpin Malaysia…keutamaan kita adalah untuk menang pilihan raya terlebih dahulu .. dapatkan sokongan rakyat kita menang pilihan raya ..masalah siapa pemimpin itu (PM) akan dipilih dalaman…itu kita akan bincang sama-sama .

‘’Pas  ada panduan sendiri dalam memilih pemimpin. Dalam al-Quran, tuhan kata pilih pemimpin mesti daripada orang berilmu, ada integriti,  orang yang sihat gagah, (umur) 70 tahun (ke atas) macam saya tak payah…(kita nak pilih) umur bawah 70 tahun  jadi PM, boleh turun ke bawah (buat kerja)’’ kata Abul Hadi.

Abdul Hadi turut menyatakan keyakinan bahawa Pas akan berupaya menguasai Perak, Pahang dan Selangor dalam pilihan raya akan datang. Ia juga  secara tidak langsung memberi mesej mengenai kekuatan Pas termasuklah apabila beliau menyebut empat negeri yang kini berada di dalam genggaman Pas iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan

Kesemua kenyataan itu sepatutnya memberi pemahaman kepada Bersatu bahawa Pas sudah bersedia menerajui Perikatan Nasional dan Muhyiddin,78 tahun sudah tidak layak lagi menjadi calon Perdana Menteri. Ia memandangkan Abdul Hadi yang juga berusia 78 tahun menyatakan calon bagi jawatan itu mestilah di bawah 70 tahun…’’kalau umur macam saya tak payah la’’

Selain itu Abdul Hadi juga menyatakan Pas mempunyai ramai calon untuk menjadi Perdana Menteri tetapi apa yang penting menang pilihan raya terlebih dahulu. Dan ia boleh ditafsirkan Pas mahu menerajui PN selepas ini.

Muhyiddin pula memberitahu wartawan selepas menghadiri perasmian muktamar tersebut, bahawa cadangan Pas untuk menerajui PN dan menamakan calon PM parti itu akan dibincang dalam Majlis Presiden PN minggu depan.

Namun kenyataan Abdul Hadi sudah menampakkan dengan jelas ke mana hala tuju parti itu sebagai komponen PN. Pas mahu menjadi parti utama dalam gabungan dan bukan lagi parti yang mengikut sahaja percaturan politik yang diatur oleh Bersatu.

Penulis percaya, Pas tidak akan kompromi dalam soal itu lagi kerana selama ini Pas termasuk Abdul Hadi sendiri sudah banyak kali bersabar dengan kerenah politik Bersatu. Semoga Muhyiddin dan Bersatu memahami mesej tersirat Abdul Hadi. Dan ia akan lebih jelas apabila esok Pas dijangka meluluskan usul Pas memimpin negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img