MINAT masyarakat terhadap penghasilan produk kreatif berasaskan kayu semakin meningkat apabila Sustainable Wood DIY Contest 2026 menerima 149 penyertaan, lebih tiga kali ganda berbanding 48 penyertaan ketika penganjuran sulung pada 2024.
Daripada jumlah itu, 88 penyertaan atau 59 peratus datang daripada kategori pelajar, manakala 61 penyertaan lagi membabitkan kategori awam, sekali gus menunjukkan kecenderungan khususnya dalam kalangan generasi muda untuk meneroka potensi kayu menerusi kreativiti dan reka bentuk.
Pertandingan anjuran Majlis Kayu-Kayan Malaysia atau Malaysian Timber Council (MTC) itu berlangsung selama tiga hari di IOI City Mall, Putrajaya, dengan 20 finalis terbaik daripada kedua-dua kategori mempamerkan hasil rekaan masing-masing. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata, pertandingan bertemakan From Waste to Wonders itu membuktikan bahan lebihan kayu masih mempunyai nilai dan boleh diberikan fungsi baharu menerusi kreativiti, reka bentuk serta kemahiran.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja mampu mengetengahkan bakat baharu, malah menggalakkan penghasilan produk kayu yang kreatif, berfungsi dan mempunyai nilai tambah, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh daya saing industri perkayuan negara.

Antara hasil yang diketengahkan peserta termasuk lampu meja eko-kraf, gitar kayu, kerangka dwifungsi yang boleh dijadikan tempat duduk, papan catur lipat, set meja kerja kreatif serta pelbagai rekaan lampu inovatif.
Sementara itu, Pengerusi MTC, Datu Haji Zainal Abidin Haji Abdullah berkata, peningkatan penyertaan daripada 48 kepada 149 tahun ini mencerminkan sambutan semakin meluas terhadap pertandingan berkenaan serta minat masyarakat untuk meneroka potensi kayu secara kreatif.
Katanya, pertandingan itu turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan selain menunjukkan bagaimana kayu boleh diolah menjadi produk berguna dan bernilai.
Para finalis dinilai berdasarkan kreativiti, kelestarian, fungsi dan mutu pertukangan, dengan 60 peratus markah ditentukan panel juri manakala baki 40 peratus berdasarkan undian awam. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori masing-masing menerima RM1,500, RM1,000 dan RM500, manakala tempat keempat hingga ke-10 menerima RM100 serta sijil.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Noraihan Abdul Rahman berkata, pertandingan itu turut memberi penekanan terhadap penggunaan kayu sebagai sumber yang boleh diperbaharui secara optimum dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, bahan yang dianggap tidak lagi berguna masih boleh diberikan kehidupan baharu dan mempunyai nilai melalui gabungan kreativiti, reka bentuk serta kemahiran pertukangan.
Pertandingan itu turut mendapat sokongan Rekayu Penang, sebuah ruang kreatif dan bengkel kerja kayu di Pulau Pinang, serta Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Rakan Strategik. Usaha berkenaan dilihat selari dengan perkembangan industri perkayuan negara yang merekodkan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM21.51 bilion pada 2025, selain membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan.





