DATUK Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Malaysia atas pencapaian sembilan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini, Perdana Menteri berkata, pencapaian itu menyamai rekod terbaik negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia yang sebelum ini dicatatkan pada edisi Guangzhou 2010.
“Tahniah dan syabas kepada seluruh kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 atas pencapaian sembilan pingat emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik negara di pentas Sukan Asia seperti yang dicatatkan di Guangzhou 2010,” katanya dalam hantaran itu.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua atlet dan anggota kontinjen yang telah memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan berkenaan.
Menurut Anwar, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan negara, malah menjadi bukti usaha serta semangat juang yang ditunjukkan kontinjen Malaysia di pentas antarabangsa.
“Terima kasih kerana telah memberikan yang terbaik dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap kejayaan yang diraih pada temasya berkenaan menjadi pembakar semangat kepada atlet negara untuk terus mencipta pencapaian lebih membanggakan pada kejohanan akan datang.
“Teruskan melangkah dengan keyakinan dan semangat juang tinggi. Semoga lebih banyak kejayaan menanti di pentas-pentas seterusnya,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 melabuhkan tirai malam ini selepas 16 hari menyaksikan atlet terbaik Asia bersaing merebut pingat, sebelum Doha, Qatar mengambil alih tugas sebagai tuan rumah edisi seterusnya.
Kontinjen Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-11 selepas mengutip sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa.
China muncul juara keseluruhan dengan 169 emas, 89 perak dan 83 gangsa, diikuti Jepun di tempat kedua dengan 83 emas, 95 perak dan 91 gangsa, manakala Korea Selatan menduduki tangga ketiga dengan 39 emas, 43 perak dan 68 gangsa.





