WAKIL kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, J Samivel Jairas maut dalam nahas jalan raya di Melaka, tengah hari tadi.
Berita kematian itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau menerima berita dukacita berhubung pemergian Samivel yang turut memegang jawatan Naib Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah.
“Saya menerima khabar duka dari Melaka. Saudara Samivel, wakil calon HARAPAN bagi DUN Asahan telah terkorban dalam nahas jalan raya tengah hari tadi,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Perdana Menteri, mendiang sudah lama berkhidmat dan menunjukkan kesetiaan terhadap perjuangan parti.
Beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyampaikan ingatan serta doa kepada keluarga mendiang dan rakan seperjuangan agar diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
Mendiang merupakan wakil kepada calon PH, P Denesh yang akan berhadapan dengan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Fairul Nizam Roslan.





