Mindef gesa PBB timbang permohonan tarik keluar MALBATT dari Lubnan

KEMENTERIAN Pertahanan terus menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menilai semula penempatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan perubahan situasi keselamatan di kawasan operasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sebelum ini menghantar pasukan menyertai misi pengaman Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang berperanan sebagai pengantara antara pihak yang bertelagah.

Bagaimanapun jelas beliau, keadaan semasa telah berubah apabila konflik semakin memuncak dan melibatkan pertempuran terbuka, sekali gus tidak lagi selari dengan mandat asal pasukan pengaman.

“Apabila kita hantar pasukan sertai UNIFIL, tujuannya adalah sebagai pasukan pengaman antara pihak bertelagah iaitu Israel dan Hezbollah supaya mereka tidak meneruskan peperangan.

“Tetapi hari ini keadaan telah bertukar, mereka berperang antara satu dengan yang lain dan ini bukannya mandat yang diberikan kepada MALBATT atau mana-mana pasukan lain yang sertai UNIFIL.

“MALBATT merupakan pasukan pengaman yang tidak mempunyai kelengkapan persenjataan sesuai untuk keadaan peperangan, sebaliknya mereka kini pihak terkesan dalam situasi semasa,” katanya.

Beliau demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli di Kota Tinggi hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memberitahu, lebih 500 anggota MALBATT di Lubnan ketika ini telah diarah untuk kekal di dalam bunker dan tidak melakukan sebarang operasi rondaan.

“Permohonan telah dibuat Kementerian Luar, kita di Kementerian Pertahanan tunggu keputusan, kalau keputusannya kekal di situ kita akan kekal, tetapi kalau keputusannya boleh balik, kita akan balik. Itu keputusan antara Kementerian Luar dan UN, bukan pihak kita,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img