TINDAKAN seorang pemilik kedai runcit menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dengan memprosesnya menjadi minyak terpakai membawa padah apabila ditahan dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.
Suspek lelaki warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan berasingan dalam Op Tiris 4.0 Bersepadu selepas kegiatan berkenaan dikesan hasil risikan selama sebulan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, serbuan yang dijalankan di sebuah stor, rumah dan kedai runcit suspek itu membawa kepada rampasan 3,150 kilogram minyak masak peket bersubsidi serta beberapa peralatan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM95,000.
“Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, bungkusan plastik kosong minyak masak peket yang telah dipotong, dua bilah pisau, satu set pam beserta hos, sebuah IBC kosong berkapasiti 1,000 liter, salinan lesen CSA, bil elektrik, salinan dokumen SSM dan tiga unit bakul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini, hari ini.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah membeli minyak masak peket bersubsidi sebelum memotong bungkusannya, mencampurkan pewarna dan memasukkannya ke dalam tangki IBC berkapasiti 1,000 liter untuk diproses menjadi minyak terpakai.
“Minyak ini bukannya untuk dibekalkan kepada orang awam atau dijual sebagai minyak yang sepatutnya, sebaliknya dia beli dan potong kemudian campurkan pewarna sebelum dijadikan minyak terpakai dan dijual pada harga RM3.50,” katanya.
Jegan berkata, kegiatan itu membolehkan suspek memperoleh keuntungan kira-kira RM1 bagi setiap peket minyak masak bersubsidi tanpa perlu melalui proses jualan runcit seperti biasa.
Katanya, pihaknya bimbang minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat disalahgunakan untuk menghasilkan minyak terpakai yang kemudiannya dijual kepada pihak lain.
“Tambahan pula minyak terpakai lebih mahal dan menguntungkan. Namun, perbuatan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan subsidi kerajaan yang sepatutnya membantu rakyat yang memerlukan, bukan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulim bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang memandang serius sebarang usaha menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan itu boleh menjejaskan bekalan serta hak pengguna yang sepatutnya menikmati manfaat subsidi kerajaan.
“Kita akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.





