KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menafikan dakwaan mengenai kewujudan ‘Bantuan eMADANI RM1,700’ untuk suri rumah, ibu tunggal dan warga emas yang kini tular di media sosial.
MOF menerusi kenyataan memaklumkan bahawa maklumat berkenaan adalah palsu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, tidak menekan sebarang pautan mencurigakan dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan melalui laman atau akaun yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, MOF turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan setiap maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif kerajaan disemak menerusi saluran rasmi kerajaan sebelum dikongsi.
“Semak dahulu. Jangan mudah percaya. Jangan sebarkan maklumat palsu,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kononnya terdapat bantuan berjumlah RM1,700 menerusi eMADANI untuk golongan suri rumah, ibu tunggal dan warga emas.
MOF mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran bantuan yang tidak disahkan, terutama yang meminta pengguna menekan pautan atau memberikan maklumat peribadi dan perbankan.





