Mudir madrasah mengaku tidak bersalah terbabit amang seksual 3 budak lelaki

SEORANG mudir sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga budak lelaki di Tumpat pada 2023 dan 2024.

Tertuduh, Mohamad Badrul Abd Rahim, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki yang juga anak muridnya, masing-masing berusia antara 10 tahun 10 bulan hingga 11 tahun lapan bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, iaitu di sebuah madrasah di Taman Sri Bayu, Tumpat, antara jam 1 pagi hingga 10 malam dalam tempoh Februari 2023 hingga November 2024, lapor BH.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon jaminan RM45,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi dalam kes itu, manakala tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi dan mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img