Mydigital ID main peranan penting pengesahan dalam talian

MYDIGAL ID memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada ekosistem digital negara, dengan menyediakan kaedah yang selamat dan boleh dipercayai untuk pengesahan identiti secara dalam talian

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan dengan penuh keyakinan.

Beliau berkata momentum kukuh kini terserlah apabila jutaan rakyat mula menggunakan MyDigital ID, sekali gus memperlihatkan bahawa asas telah tersedia dan hala tuju yang diambil adalah relevan.

“Tahniah walaupun MyDigital ID ketika pelancarannya mendapat pelbagai reaksi, tapi telah mencapai jumlah memberangsangkan. Tahniah kepada pasukan MyDigital ID.

“Pendekatan kita adalah tersusun. Kita bermula dengan memperkukuh kerjasama dalam sektor kewangan menerusi kerjasama rapat bersama MyDigital ID dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk meningkatkan pengesahan identiti dalam transaksi digital serta melindungi interaksi kewangan yang sensitif,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID dan rakan strategik di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil,

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha kini diperluas kepada landskap lebih menyeluruh dan saling berhubung merangkumi ekosistem mudah alih, perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor pendidikan serta platform digital yang melayani jutaan pengguna setiap hari.

‘’Setiap sektor ini memainkan peranan berbeza, tetapi dihubungkan oleh keperluan bersama untuk kaedah pengesahan identiti yang selamat dan lancar, dan kerjasama tidak boleh berlaku secara berasingan sebaliknya perlu diselaraskan merentasi keseluruhan ekosistem.

“Apabila agensi kerajaan, pemain industri dan platform digital bergerak seiring, kita mewujudkan sistem yang lebih kukuh, berdaya tahan dan mampu menangani risiko,” katanya.

Ahmad Zahid berkata langkah seterusnya ialah pendekatan “one key”, iaitu satu identiti dipercayai yang membolehkan akses kepada pelbagai perkhidmatan tanpa halangan dan pertindihan.

“Inilah visi yang perlu kita realisasikan – sebuah Malaysia yang identiti digital menjadi tunjang negara dan memperkasakan rakyat untuk menyertai sepenuhnya ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata transformasi digital bukan lagi aspirasi masa hadapan, tetapi tanggungjawab masa kini dan negara perlu membina ekosistem digital yang semua boleh menggunakannya.

“MyDigital ID ialah selangkah ke arah itu. Namun, keberhasilannya terletak kepada sejauh mana kita melaksanakannya, seerat mana kerjasama, dan sejauh mana ia memberikan manfaat secara konsisten kepada rakyat.

“Andai kita melaksanakannya dengan betul, insya-Allah bukan sahaja akan memperkukuh ekonomi digital, tetapi membina sistem yang boleh diyakini oleh rakyat Malaysia. Dan, tanggungjawab itu perlu digalas oleh kita semua,” katanya.

Majlis pertukaran MoU itu, menyaksikan MyDigital ID memeterai kerjasama dengan 29 organisasi bagi memperluas penggunaan identiti digital nasional Malaysia merentasi sektor utama.

MoU itu melibatkan antaranya, CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, Yayasan MyKasih bagi ekosistem kebajikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi pendidikan, SOCAR Mobility Malaysia Sdn Bhd (SOCAR) bagi platform digital, serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemudah teknologi, untuk memperluas penggunaan MyDigital ID merentasi sektor utama.

Kerjasama berkenaan akan menyokong penggunaan MyDigital ID dalam bidang seperti kebajikan, pendidikan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, platform digital serta sektor teknologi dengan lebih meluas, sekali gus membantu pengguna mengesahkan identiti mereka dengan lebih mudah, di samping memperkukuh perlindungan terhadap penipuan dan penyalahgunaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img