POLIS menahan seorang penjawat awam selepas insiden pertengkaran di jalan raya berhampiran Plaza Tol Bangi, Kajang, tular kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata lelaki berusia 25 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekitar jam 9.50 malam, malam tadi.
“Rampasan ke atas kenderaan suspek, iaitu Perodua Myvi turut dilakukan di kawasan Dang Wangi selepas penahanan dibuat.
“Suspek kemudiannya direman pagi tadi dengan diwakili peguam dan Majistret membenarkan reman sehari (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Naazron mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang juga eksekutif syarikat swasta, berhubung kejadian itu.
Mangsa mendakwa kenderaannya dihimpit sebuah Perodua Myvi selepas Plaza Tol Bangi, sekitar jam 6.10 pagi, kelmarin sebelum bahagian kiri hadapan keretanya dilanggar oleh kereta suspek.
Insiden itu mencetuskan pertengkaran di tepi jalan apabila suspek dikatakan menengking serta melakukan perbuatan seperti mahu memukul mangsa dan mendakwa mangsa menukar lorong tanpa memberi isyarat.



