SEORANG bapa dan anak lelakinya antara yang cedera dalam kemalangan membabitkan 10 buah kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Cheng malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kemalangan melibatkan tujuh buah kereta, sebuah lori, sebuah pacuan empat roda serta sebuah motosikal Honda Dash yang ditunggangi mangsa berusia 39 tahun bersama anak lelakinya berusia 11 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Malim menghala ke Cheng dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Menurutnya, motosikal mangsa turut dirempuh dari arah belakang sebelum berlaku pelanggaran melibatkan beberapa kenderaan lain.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami patah kaki, manakala anaknya cedera di bahagian kepala dan terpaksa diintubasi.
“Pemandu Toyota Hilux itu pula mengalami kecederaan ringan di bahagian muka. Semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Zaki berkata, hasil ujian saringan mendapati pemandu Toyota Hilux negatif dadah dan ujian pernafasan alkohol (SD2+).
“Bagaimanapun, sampel darah pemandu telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi tujuan ujian toksikologi.
“Kesemua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut. Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kejadian dan ia akan dijadikan sebahagian daripada bahan siasatan,” katanya.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.






