PERJALANAN enam guru dan seorang pelajar ke sebuah program sekolah bertukar detik cemas apabila Perodua Myvi yang mereka naiki berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan sebelum dirempuh sebuah lori di Kilometer 94, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu Perodua Myvi, Noriah Mat Isa, 56, cedera parah manakala tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Noah dan lori.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Myvi berkenaan berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan.
“Sebuah Toyota Noah kemudian berhenti di hadapan Perodua Myvi tersebut sebelum sebuah lori yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang Myvi.
“Pelanggaran itu menyebabkan Myvi turut merempuh bahagian belakang Toyota Noah. Akibat impak pelanggaran, ketiga-tiga kenderaan terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Noriah yang juga Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji, Perlis mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Katanya, tujuh lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan mendapati mangsa bersama lima lagi guru serta seorang anaknya, Nur Aalia Jeffri, 16, dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Haji Zainuddin di Serdang bagi menghadiri satu program.
“Mereka dipercayai bertolak dari Perlis seawal Subuh sebelum kemalangan berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rashid dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.56 pagi.
Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati seorang mangsa wanita tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Myvi sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa kemudian dihantar ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.






