Nenek temui Irene Sofiya dalam keadaan berlumuran darah

PELAJAR Tingkatan Empat Irene Sofiya Mohd Khairool ditemuikan oleh neneknya, Jamyeh Rabani, 66 dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng petang semalam.

Jameyah memberitahu dua rakan cucunya itu datang ke rumah untuk bertanyakan keberadaan Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya pada kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, kedua-dua rakan berkenaan hairan apabila motosikal milik Fiya masih berada di sekolah, sedangkan mereka tidak menemuinya.

Dia kemudian mengajak anak sulungnya Siti Nur Faeza, 45, yang baru sampai dari Kluang, ke sekolah yang terletak tiga kilometer dari rumah untuk mencari cucunya bersama dua rakan berkenaan.

“Kami pusing mencari di sekitar kawasan sekolah dan rakan-rakannya turut membantu sebelum salah seorang daripada mereka menemui Fiya di dalam dewan sekolah. Saya kemudian terdengar rakannya menjerit memanggil saya supaya segera datang kerana darah sudah banyak,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, lapor Sinar Harian.

Jameyah memberitahu, sebaik tiba di lokasi, dia melihat cucunya masih memberikan reaksi apabila namanya dipanggil, namun berada dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

“Saya pegang dia, panggil nama Fiya dan ajar dia mengucap. Keadaannya ketika itu penuh dengan darah. Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi,” katanya.

Jameyah reda dengan pemergian cucunya itu, namun amat sedih mengenangkan cucu yang dijaga penuh kasih sayang diperlakukan dengan kejam di kawasan sekolah.

Katanya, dia menjaga Fiya sejak berusia sembilan tahun selepas ibu remaja itu meninggal dunia akibat kanser hati.

Sementara itu, datuknya, Khyar Abas, 69, berkata, dia tidak menyangka perbualan bersama cucunya ketika bersarapan pada pagi sebelum kejadian menjadi pertemuan terakhir mereka.

Katanya, dia sempat bertanyakan sama ada Fiya sama ada mahu mengikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, namun cucunya itu memaklumkan mempunyai kelas dalam talian pada jam 11 pagi.

Malah, Fiya turut mempunyai kelas tambahan di sekolah pada jam 2 petang.

“Kami memang tinggal bertiga sejak Fiya berusia sembilan tahun. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati atuk dan nenek serta kuat belajar,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here