Ke mana arah tuju Malaysia?

MINGGU ini rencana saya lebih pendek berbanding kebiasaan bagi disuaikan dengan tajuk.

Sejak kebelakangan ini saya dihujani dengan banyak persoalan ke manakah hala tuju negara kerana kita rakyat marhaen  sudah sangat terkesan sebenarnya terutama dalam ekonomi.

Cerita makro yang mencanangkan pertumbuhan ekonomi, potensi pelaburan berbilion ringgit sudah tidak dapat dipercayai kerana tidak dirasai secara mikro.

Ketika bersembang dengan tokoh kepimpinan persatuan berkaitan Perusahaan Kecil Sederhana (SME), beliau bimbang semakin banyak peniaga SME akan gulung tikar kerana kerajaan gagal menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif. Malah dasar mengekang persaingan keterlaluan  gagal diwujudkan untuk mengekang modal besar seperti dari China yang menggugat usahawan tempatan, khususnya peniaga kecil kaum Cina Malaysia.

Petani semakin tertekan dengan pelbagai masalah pengurusan kerajaan seperti isu bekalan air, baja, pemotongan pemutuan padi sehingga pesawah berhutang sepanjang masa. Masalah kawalan lambakan sayur import, perusahaan haram pendatang asing tidak terkawal dek undang-undang.

Bahu saya adalah tempat berpaut juga isu TVET swasta yang melibatkan hampir 500 pusat bertauliah yang berkecamuk cara pelaksanaannya. TVET swasta di Sabah dan Sarawak mempersoalkan akses anak muda untuk mendapatkan lebih perhatian gagal ditangani. Cerita kemenangan dalam World Skills Competition bukan ukuran kepada TVET yang diperlukan di dalam negara.

Sahabat saya di Sarawak juga memaklumkan bahawa daripada 100 doktor yang melapor diri, difahamkan hanya 20 orang sahaja yang menandatangani persetujuan untuk jawatan tetap. Bakinya akan cabut bila-bila masa. Krisis tenaga kerja kesihatan Malaysia yang sangat menakutkan masa kini.

Cikgu-cikgu semakin stress dan ramai berhasrat mahu bersara awal kerana terbeban dengan dasar yang bukan-bukan, sedangkan perkara pokok berkaitan pembelajaran pula tidak diselesaikan. Buktinya dalam ujian antarabangsa seperti PISA, kita jatuh merudum.

Dari sudut politik, saya menemui veteran UMNO yang terkenal juga mengatakan bahawa beliau sendiri tidak tahu apakah hala tuju partinya.

“Kami diberitahu untuk bersiap sedia menyiapkan jentera ke medan perang tetapi kami tidak tahu ke mana arah peperangan?. Siapakah musuh kami? Siapakah yang hendak diserang? Semuanya tiada jawapan”, katanya.

Dalam kelam kelibut negara, begitu mudah pula duit kerajaan disakau seperti scammer e-fishery, kehilangan duit agrobank dan terbaru duit Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sistem bayarannya diuruskan oleh sebuah syarikat yang tidak diserahkan kepada kerajaan sejak tahun 2023.

Banyak persoalan yang bakal menjerumuskan Malaysia ke jurang bahaya jika halatuju kita terus berlarutan seperti hari ini. Saya sendiri merasai kesan yang semakin melebar itu. Maaf kepada media yang selalu menghubungi saya untuk mendapatkan ulasan tetapi kali ini saya mengambil pendekatan malas nak jawab sebab tiada perubahan negara yang meyakinkan.

Pendek rencana saya kali ini sebab saya antara rakyat yang tidak tahu ke manakah hala tuju Malaysia tercinta ini? Kepada Allah, kita berserah.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here