Netanyahu terus mengganas arah tentera Zionis jangan berhenti serang Gaza , terbaru 38 terbunuh, kem pelarian turut dibom

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus menunjukkan sikap angkuh dan kejamnya apabila mengarahkan tentera Zionis terus melancarkan serangan di Gaza hari ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh.

Beberapa media Arab melaporkan, walaupun tekanan masyarakat semakin meningkat supaya serangan di Gaza dihentikan sedikitpun tidak menggentarkan Netanyahu yang akan bertemu dengan sekutu rapatnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menjemput penjenayah antarabangsa itu ke Rumah Putih, Isnin ini.

Menurut pegawai Kesihatan di Hospital Al-Awda,  serangan tengah dan utara Gaza itu turut membunuh penduduk yang berada di kediaman masing-masing awal hari ini termasuk sembilan orang daripada keluarga yang sama dalam sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat.

Serangan itu membuktikan Netanyahu mengotakan janjinya untuk meneruskan serangan di Gaza atas alasan menghapuskan Hamas, walaupun ia ditentang oleh negara Barat. Malah Netanyahu juga tidak peduli dengan tindakan lebih 150  negara mengiktiraf negara Palestin.

Tindakan Netanyahu di Gaza hari ini menimbulkan persoalan mengenai kenyataan Trump bahawa perbincangan dengan negara-negara Asia Barat mengenai Gaza ‘’ sangat memberi inspirasi dan produktif” serta “rundingan intensif”.

Ia memandangkan dikatakan Israel terus mara dengan satu lagi operasi darat besar-besaran di bandar Gaza, yang menurut pakar sedang mengalami kebuluran. Lebih 300,000 orang telah melarikan diri, tetapi sehingga 700,000 masih berada di sana kerana ramai tidak mampu berpindah.

Serangan hari ini turut  memusnahkan sebuah rumah di kejiranan Tufah,  Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang, lebih separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak, menurut Hospital Al-Ahly tempat mayat-mayat itu dibawa. Empat orang lagi terbunuh apabila sebuah serangan udara mengenai rumah mereka di kem pelarian Shati, menurut Hospital Shifa.

Enam lagi rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel ketika mencari bantuan di Gaza selatan dan tengah, menurut Hospital Nasser dan Al-Awda tempat mayat mereka dibawa.

Kejadian serangan di kawasan-kawasan berkenaan membuktikan kenyataan Netanyahu di PBB bahawa penduduk Gaza diminta  berpindah ke tempat selamat hanyalah satu pembohongan.

Hospital dan klinik kesihatan di bandar itu berada di ambang kehancuran. Hampir dua minggu sejak serangan ofensif bermula, dua klinik telah musnah akibat serangan udara, dua hospital ditutup selepas rosak dan yang lain hampir lumpuh, dengan kekurangan ubat-ubatan, peralatan, makanan serta bahan api.

Ramai pesakit dan kakitangan telah dipaksa melarikan diri dari hospital, meninggalkan hanya beberapa doktor dan jururawat untuk menjaga bayi dalam inkubator atau pesakit lain yang terlalu sakit untuk dipindahkan.

Semalam, kumpulan bantuan Doctors Without Borders berkata ia terpaksa menggantung operasi di Gaza di tengah-tengah serangan Israel yang semakin hebat. Kumpulan itu berkata kereta kebal Israel berada kurang setengah batu daripada  kemudahan kesihatannya dan serangan yang semakin meningkat telah mewujudkan “tahap risiko yang tidak boleh diterima” untuk kakitangannya.

Sementara itu, keadaan makanan di utara juga bertambah buruk, kerana Israel telah menghentikan penghantaran bantuan melalui lintasannya ke utara Gaza sejak 12 September dan semakin banyak menolak permintaan PBB untuk membawa bekalan dari Gaza selatan ke utara, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

Kempen Israel di Gaza setakat ini telah membunuh lebih daripada 65,000 orang dan mencederakan lebih 167,000 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Ia tidak membezakan antara orang awam dan pejuang, tetapi mengatakan wanita dan kanak-kanak menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah kematian.

Kementerian itu adalah sebahagian daripada kerajaan yang ditadbir Hamas, tetapi agensi PBB dan ramai pakar bebas menganggap angkanya sebagai anggaran paling boleh dipercayai mengenai korban perang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img