‘’Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tapi hakikatnya bercanggah’’ – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan tidak berasas bahawa Kerajaan Madani menentang Islam, sebaliknya menegaskan bahawa pihak lawan sengaja memperalatkan isu agama demi kepentingan politik.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi PKR di Melaka, Anwar menyelar sikap segelintir pemimpin pembangkang, yang menggunakan agama sebagai topeng untuk menyerang kerajaan dengan kata-kata kesat dan tuduhan liar.

“Saya jarang komen tentang orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, Pas bersama kerajaan, judi ditambah atau tidak? Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” kata beliau.

Anwar berkata jika teguran dibuat dengan niat baik untuk memperbaiki akhlak selaras dengan gagasan Madani, beliau bersedia menerimanya, namun menolak jika kerajaan dituduh sebagai anti-Islam.

“Di mana kita menentang Islam? Peruntukan untuk Islam kita tambah, maahad tahfiz kita bantu, anak-anak huffaz kita bawa ke institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta diberi latihan,” kata Perdana Menteri.

Turut hadir Pengerusi MPN PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Anwar turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal memperkukuh agenda Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan.

“Bandingkan kerajaan Madani dengan PN. Program Islam apa mereka buat di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. Tapi Pas tidak wajar kritik kerana ketika mereka dalam kerajaan, merekalah yang menaikkan jumlah itu,” kata beliau.

Anwar berkata perjuangan Reformasi sejak dahulu mengajar rakyat berani menegur menggunakan fakta, bukan melabel orang sebagai kafir atau munafik tanpa bukti.

“Kita ajar keberanian untuk sanggah rasuah, bukan guna agama untuk menipu rakyat,” kata beliau sambil menekankan bahawa kerajaan Madani akan terus menzahirkan nilai Islam menerusi pentadbiran yang bersih, adil dan membela rakyat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img