POLIS mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes seorang wanita, Nurul Nazla Abdul Halim, 41, yang hilang selepas melawat suaminya di Hospital Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan mengenai kehilangan itu dibuat oleh adik kepada wanita berkenaan jam 12.06 tengah malam tadi.
“Siasatan awal mendapati Nurul Nazla telah keluar dari Hospital Shah Alam selepas melawat suaminya yang sedang dirawat di wad hospital berkenaan kira-kira jam 2 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan ahli keluarga memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Nurul Nazla.
Adik wanita itu, Nadia dilaporkan berkata, kakaknya gagal dikesan selepas menziarahi suaminya yang sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam pada jam 2 petang.
Menurutnya, sebelum keluar dari hospital, Nurul Nazla memaklumkan kepada suaminya bahawa dia mahu mencari makan di kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang.
Nadia berkata, kakaknya yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dilaporkan kali terakhir berhubung dengan suaminya melalui aplikasi WhatsApp pada jam 3.01 petang.
Sementara itu Ramsay berkata, kali terakhir mangsa berhubung dengan suaminya ialah pada jam 3 petang hari yang sama melalui aplikasi WhatsApp, namun sehingga kini wanita berkenaan masih gagal dihubungi.
“Wanita itu berketinggian kira-kira 165 sentimeter dan berat 92 kilogram. Dia berkulit kuning langsat serta bertudung,” katanya.
Menurut Ramsay, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan keberadaan mangsa.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Nurul Nazla diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355,” katanya.



