SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah masjid, awal bulan ini.
Khairul Asyraf Hashim, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa dengan menyentuh bahagian sulit mangsa bagi tujuan seksual di Masjid Jamek Haji Abdul Latiff, Permatang Pasir, dekat sini, kira-kira jam 4 petang, 3 September lalu.
Khairul didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan berkenaan serius selain mengambil kira usia mangsa yang masih kecil.
“Walaupun tertuduh tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, dia sering berada di lokasi kejadian,” katanya, lapor BH.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum.
Beliau berkata anak guamnya mempunyai masalah pertuturan, tidak bekerja dan bergantung kepada abangnya yang bekerja sendiri serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Risiko tertuduh melarikan diri adalah minimum kerana dia hadir ke mahkamah sendiri dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan Khairul dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, bagi menjalani penilaian kesihatan mental.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini bagi sebutan semula kes.




