DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil 28 tindakan sita dan mengeluarkan 23 kompaun terhadap individu menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran menerusi Op Lens di sekitar KLCC setakat kelmarin.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) di kawasan tumpuan awam termasuk Pintasan Saloma dan sekitar KLCC.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi siri 6/2026 itu memfokuskan kepada aktiviti ‘ulat foto’ yang menjalankan perkhidmatan tanpa lesen di lokasi awam.
“Dalam operasi kali ini, DBKL mengeluarkan empat notis kompaun dan melaksanakan tiga sitaan melibatkan pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memeriksa 31 individu membabitkan pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri termasuk empat individu diberikan surat akuan penahanan dokumen JPN menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959 mengikut Peraturan 21(1)(c), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
“Ia untuk hadir dan siasatan lanjut kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan individu-individu berkenaan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, dalam operasi bersepadu terbaharu kelmarin, DBKL mengeluarkan empat notis kompaun terhadap ‘ulat foto’ serta membuat tiga sitaan pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit.
“DBKL terus komited memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan tumpuan kekal selamat daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran,” katanya.
Operasi berkenaan turut membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).


