MELALUI pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (BERSEPADU), bermula 16 Mac hingga 22 April lalu sebanyak 20,020 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara yang menghasilkan 362 kes serta penahanan seramai 105 individu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada 362 kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi.
‘’Pecahan kes mengikut jenis barang kawalan yang direkodkan ialah diesel – 157 kes; Petrol – 78 kes; Gas Petroleum Cecair (LPG) – 49 kes; Minyak Masak – 42 kes; Gula – 26 kes; Tepung Gandum – 10 kes,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi penguatkuasaan OPS Tiris 4.0 (BERSEPADU) di Johor, bagi tempoh yang sama, sebanyak 2,227 pemeriksaan telah dilakukan yang telah merekodkan 23 kes.
‘’ Daripada jumlah kes tersebut, komoditi diesel merekodkan kes tertinggi iaitu 13 kes, diikuti dengan dua kes melibatkan penyelewengan bahan api petrol,’’ katanya.
Armizan menegaskan, KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data, pemantauan yang lebih rapi serta kerjasama strategik merentas agensi.
‘’Melalui inisiatif KITA GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), KPDN menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu dalam mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi,’’katanya.


