Orang awam boleh salur teguran terhadap media kepada Majlis Media Malaysia – Fahmi

ORANG  awam yang mempunyai aduan berhubung etika pelaporan media tempatan boleh menyalurkannya kepada Majlis Media Malaysia (MMM), kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran betul bagi mengelakkan berlakunya salah faham serta tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti industri media.

“Sekiranya dari aspek pelaporan oleh media itu sendiri, saya sarankan orang ramai sekiranya ada tajuk berita ataupun apa-apa perkara yang ingin ditegur kepada pihak media, mekanismenya adalah saluran aduan rasmi melalui Majlis Media Malaysia. Jadi ada pautan yang boleh kita pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program MADANI Kita bersama-sama komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, Shah Alam hari ini.

Semalam, Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa menyunting imej petugas media kepada imej haiwan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu membabitkan gambar sekumpulan jurugambar dan wartawan yang sedang menjalankan tugas liputan kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara isteri beliau Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya, Khamis lepas.

Fahmi berkata MCMC telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial yang dikesan menyebarkan kandungan jelik dengan menyalahgunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk menyunting imej Tun Dr Mahathir sewaktu pemergian Tun Dr Siti Hasmah.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Saya sendiri melihat akaun tersebut telah lesap, kita belum pasti sama ada akaun itu adalah akaun palsu, tapi pihak MCMC sedang menjejaki bersama dengan pihak polis mana-mana pihak yang menghasilkan kandungan jelik melampau dalam hal ini.

“Bagi rakan-rakan media, saya juga ingin memberi sedikit peringatan supaya kita juga memberi ruang dan kita hormati permintaan keluarga pada ketika keluarga sedang berduka. Kita doakan Tun Dr Mahathir dan keluarga tabah menghadapi dugaan besar ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here