PERTAHANAN PAwam Palestin di Gaza mengecam sikap “double standard” yang ditunjukkan oleh sesetengah organisasi antarabangsa yang membawa masuk jentera berat ke Semenanjung Gaza semata-mata untuk mencari mayat tahanan Israel, sambil mengabaikan puluhan ribu rakyat Palestin yang masih tertimbus di bawah runtuhan selepas dua tahun genosid oleh rejim Israel.
Jurucakap agensi itu, Mahmud Basal, berkata pihaknya amat kecewa apabila terdapat agensi yang mempunyai peralatan berat dan jentolak berkuasa tinggi tetapi hanya menggunakannya untuk mencari mayat tahanan Israel.
“Ia benar-benar memilukan apabila agensi dan organisasi tertentu membawa masuk jentera berat hanya untuk mencari mayat tahanan Israel, sedangkan tiada satu pun peralatan disediakan untuk mengeluarkan 10,000 mayat rakyat Palestin yang masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya.
Basal menegaskan bahawa sikap itu jelas mencerminkan “double standard” yang tidak berperikemanusiaan.
“Kemanusiaan sejati menuntut agar perhatian yang sama diberikan kepada mayat rakyat Palestin sebagaimana yang diberikan kepada mayat Israel,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mayat amat sukar dan mengambil masa panjang.
“Mengeluarkan satu mayat sahaja boleh mengambil masa sehingga 12 jam kerana tahap kemusnahan yang begitu besar di Gaza.
“Kami perlukan 10,000 hari untuk mengeluarkan 10,000 syuhada. Ini bermakna kami memerlukan sejumlah besar jentera berat seperti trak, jentolak dan penggali. Peralatan yang masuk ke Gaza sekarang jauh daripada mencukupi.”
Basal turut menambah bahawa isu logistik turut menjadi cabaran besar.
“Jika runtuhan dialihkan, ke mana kita akan bawa dan letakkan semuanya? Adakah isu ini hanya tentang mencari mayat, atau juga tentang menyingkirkan runtuhan dan mencari tempat untuk menampungnya.
“Masalah ini memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak agar usaha mencari dan mengeluarkan mayat dapat dilaksanakan segera, ‘’ katanya.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Israel berkata Palang Merah dan pasukan Mesir telah dibenarkan masuk ke kawasan Gaza melepasi “garis kuning” gencatan senjata, yang membolehkan Israel mengekalkan kawalan ke atas 58 peratus wilayah terkepung itu.
Jentera berat dibenarkan masuk untuk mencari sisa mayat tahanan Israel di bawah runtuhan rumah atau struktur yang pernah dijadikan tempat tahanan mereka. Namun, jentera tersebut diutamakan bagi usaha mencari mayat Israel, bukan untuk membantu rakyat Palestin mencari ahli keluarga mereka yang masih tertimbus atau untuk membina semula infrastruktur penting di Gaza.


