TIGA individu yang bertindak sebagai keldai akaun kepada sindiket penipuan membabitkan skim pelaburan, tawaran pekerjaan tidak wujud dan pembelian dalam talian dihukum denda oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Ketiga-tiga tertuduh, Salina Md. Isa, 58, Dayana Rania Sayid, 45, dan Stephen Danial Anak Bilong, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap Salina, RM1,000 kepada Dayana dan RM2,000 terhadap Stephen Danial.
Hakim turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara antara satu hingga dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Salina yang tidak bekerja didakwa secara tidak jujur mengalihkan harta milik seorang lelaki berjumlah RM3,633.12 ke dalam akaun bank miliknya di Tanjung Langsat pada 1 Oktober tahun lalu.
Dayana Rania yang juga tidak bekerja pula didakwa membantu mengalihkan harta milik seorang wanita berjumlah RM10,165.12 ke akaun bank miliknya di Taman Johor Jaya pada 3 November tahun lalu.
Sementara itu, Stephen Danial yang bekerja sebagai penghantar makanan didakwa secara tidak jujur mengalihkan wang milik seorang wanita berjumlah RM5,100 ke akaun bank miliknya di Taman Desa Jaya pada 26 Jun lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.





