YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan kesakitan musculoskeletal (melibatkan otot dan tulang) pada bahagian belakang serta pinggul.
Istana Negara menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat sebelum menjalani rawatan susulan bagi memberikan ruang kepada proses pemulihan.

“Justeru, Seri Paduka Baginda tidak berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, yang berlangsung hari ini (31 Julai),” menurut kenyataan itu hari ini.
Menerusi satu lagi hantaran Istana Negara di media sosial, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan itu yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan negara.
“Selamat Hari Pahlawan, jasa dan pengorbanan anda semua akan sentiasa terpahat dalam kenangan. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melindungi seluruh warga pasukan keselamatan dalam setiap tugas yang dilaksanakan,” titah Seri Paduka Baginda.






