Pakar: Gaya pemanduan antara penentu penggunaan petrol

SETIAP kali jarum minyak kenderaan mula menghampiri paras rendah, pengguna perlu membelanjakanmemperuntukkan sebahagian pendapatan untuk mengisi petrol bagi memastikan urusan harian tidak terganggu.

Bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan pelbagai urusan setiap hari, penggunaan bahan api merupakan antara perbelanjaan yang perlu diurus secara berterusan.

Namun, penjimatan petrol tidak semestinya memerlukan pengguna menukar kepada kenderaan baharu atau mengeluarkan modal besar, sebaliknya boleh bermula dengan perubahan kecil terhadap cara pemanduan dan penjagaan kenderaan.

Dalam keadaan pasaran tenaga dunia yang berdepan ketidaktentuan bekalan dan turun naik harga minyak, penggunaan bahan api secara cekap menjadi semakin penting bagi membantu pengguna mengawal perbelanjaan harian.

Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff berkata, gaya pemanduan merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi penggunaan bahan api, justeru pengguna perlu mengamalkan pemanduan lebih lancar dan konsisten.

Katanya, tabiat seperti memecut dan membrek secara agresif bukan sahaja meningkatkan penggunaan petrol, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, pengguna juga perlu mengelakkan tabiat membiarkan enjin kenderaan hidup terlalu lama ketika berhenti atau menunggu kerana bahan api terus digunakan walaupun kenderaan tidak bergerak.

Menurutnya, penyelenggaraan kenderaan secara berkala turut memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan bahan api berada pada tahap lebih cekap.

“Tekanan tayar perlu diperiksa secara berkala mengikut spesifikasi yang ditetapkan pengeluar kerana keadaan tayar yang tidak sesuai boleh mempengaruhi kecekapan kenderaan dan aspek keselamatan,” katanya.

Dr Nur Izzi berkata, perancangan perjalanan juga boleh membantu mengurangkan pembaziran petrol, terutama bagi pengguna yang mempunyai beberapa urusan untuk dilakukan dalam sehari.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan dengan mengambil kira keadaan trafik kerana kesesakan yang menyebabkan kenderaan bergerak dan berhenti secara berulang boleh meningkatkan penggunaan bahan api.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha menjimatkan petrol tidak seharusnya dilakukan dengan mengabaikan aspek keselamatan kerana pemanduan yang cekap perlu bergerak seiring dengan pemanduan berhemah.

Menurutnya, pengguna perlu mengekalkan jarak selamat, mematuhi had laju dan mengelakkan tindakan mengejut yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Justeru, perubahan kecil seperti memandu dengan lebih tenang, memastikan tayar berada pada tekanan sesuai, melakukan penyelenggaraan berkala dan merancang perjalanan boleh menjadi langkah mudah untuk mengurus penggunaan petrol.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan dari Institute for Sustainable Transport (IST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Farid bin Muhamad Said berkata, amalan pemanduan eko boleh menjadi ‘senjata rahsia’ pengguna untuk mengurangkan perbelanjaan bahan api tanpa memerlukan modal tambahan.

Katanya, pemanduan eko bukan bermaksud memandu terlalu perlahan, sebaliknya merangkumi gaya pemanduan pintar yang menggabungkan kecekapan kenderaan dengan disiplin di jalan raya.

Menurut beliau, kajian UTM mendapati amalan pemanduan eko yang betul mampu meningkatkan kecekapan bahan api secara purata 28 peratus di kawasan bandar, 19 peratus di luar bandar dan 24 peratus di lebuh raya.

Beliau berkata, data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula menunjukkan pemandu biasa boleh menjimatkan antara RM26 hingga RM204 sebulan hanya dengan mengubah gaya pemanduan kepada lebih cekap.

“Ramai pemandu tidak menyedari bahawa cara mereka menekan pedal minyak dan brek menjadi antara punca utama petrol digunakan secara berlebihan,” katanya.

Prof Dr Mohd Farid berkata, antara tabiat yang perlu dielakkan ialah pecutan mendadak kerana enjin memerlukan lebih banyak bahan api untuk menghasilkan kuasa dalam tempoh singkat.

Katanya, pengguna juga digalakkan melihat keadaan trafik lebih awal dan mengurangkan kelajuan secara beransur-ansur berbanding membrek secara mengejut apabila menghampiri lampu isyarat atau kenderaan di hadapan.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak membiarkan enjin melahu tanpa keperluan kerana kenderaan yang tidak bergerak masih menggunakan bahan api, dengan kajian yang dirujuk beliau merekodkan penggunaan sekitar 1.2 hingga 2.0 liter sejam ketika melahu.

Dalam aspek penyelenggaraan, katanya, tekanan angin tayar perlu diberi perhatian kerana tayar kurang angin meningkatkan rintangan gulungan dan memaksa enjin bekerja lebih keras, manakala penyelenggaraan enjin secara berkala membantu memastikan kecekapan pembakaran kekal pada tahap optimum.

Selain itu, pengguna disaran mengeluarkan barangan berat yang tidak diperlukan daripada bonet kerana berat tambahan menyebabkan lebih banyak tenaga diperlukan untuk menggerakkan kenderaan, manakala rak bumbung yang tidak digunakan pula boleh meningkatkan rintangan angin.

Prof Dr Mohd Farid berkata, perancangan perjalanan juga boleh membantu mengurangkan pembaziran petrol, termasuk menggunakan aplikasi navigasi untuk memilih laluan yang mempunyai aliran trafik lebih lancar serta menggabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan.

Katanya, perkongsian kenderaan dan penggunaan pengangkutan awam apabila mempunyai akses yang sesuai juga boleh membantu mengurangkan penggunaan bahan api secara keseluruhan.

Beliau menegaskan, pemanduan eko tidak bermaksud pengguna perlu mengorbankan keselamatan, sebaliknya gaya pemanduan yang lebih tenang, mengekalkan jarak selamat dan mematuhi had laju sebenarnya membantu mewujudkan perjalanan yang lebih selamat.

Menurutnya, amalan penggunaan bahan api secara cekap juga mempunyai kesan lebih luas kerana pengurangan penggunaan petrol secara kolektif berpotensi mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api serta menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Hakikatnya, penjimatan petrol tidak semestinya bermula dengan pembelian kenderaan baharu atau penggunaan teknologi mahal kerana perubahan terhadap tabiat pemanduan boleh dilakukan serta-merta dan secara berperingkat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here