MODEL Kepimpinan Ulama dalam Pas hari ini adalah satu gandingan mantap antara kepakaran alim ulama, golongan profesional dan teknokrat yang terbukti kejayaannya dalam mentadbir empat negeri di bawah pemerintahan parti itu.
Hasilnya, kata Pengerusi As-Sabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed Pas dilihat cukup berintegriti dalam membuktikan mandat rakyat untuk mentadbir negara sebagaimana telah dibukti di empat buah negeri sekarang.
‘’Ini bermaksud, Pas telah membuktikan keupayaan melahirkan Kepimpinan Ulama yang boleh menjadi Menteri-menteri Besar dan Ahli Exco. Kita yakin Pas mampu dan layak memimpin negara Malaysia untuk menjadi Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia jika diberi mandat oleh rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen As-Sabiqun 5.0 di Sekolah Rendah Agama Al-Akhlak Al-Islamiah (SAIF), Guar Cempedak hari ini.
Assabiqun adalah satu sidang dalam Pas bagi menjaga keperluan dan kebajikan ahli-ahli berusia 60 tahun ke atas yang berjasa besar kepada parti.
Dr.Mahfodz berkata ahli As-Sabiqun perlu terus istiqamah dan mendukung dasar Kepimpinan Ulama yang menjadi tunjang kekuatan Pas sejak ia diluluskan dalam Muktamar Agung Pas pada tahun 1982.
Dasar tersebut katanya, telah melahirkan institusi tertinggi dalam parti iaitu Majlis Syura Ulamak yang berfungsi menghurai dan mentafsir dasar serta mengeluarkan arahan demi menjaga halatuju perjuangan.
Menurut beliau, kepimpinan dalam kalangan ulama sememangnya sudah menjadi amalan dalam Pas sejak awal penubuhannya, bermula daripada Yang Dipertua pertama Allahyarham Ahmad Fuad Hasan sehinggalah Presiden Pas kini, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
‘’Perjuangan Pas untuk mendaulatkan syariat Allah adalah matlamat tidak boleh dipisahkan daripada parti, manakala dasar kepimpinan ulama yang menjadi terasnya terbukti berjaya melahirkan tadbir urus berintegriti dan diyakini,’’ katanya.
Beliau menjelaskan syariat Allah bukanlah terhad kepada aspek perundangan semata-mata, tetapi ia merangkumi keseluruhan sistem tadbir urus negara yang adil, menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.
“Mudah kata, sekiranya Pas diberi amanah untuk membentuk kerajaan di negara ini, maka sistem dan cara pentadbirannya mestilah menepati kehendak Syarak.
“Justeru itu, kita telah bersedia dengan panduan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) untuk ke Putrajaya. Begitu pula selama 35 tahun Pas mentadbir Kelantan berpandukan dasar pentadbiran “Membangun Bersama Islam”,” ujarnya.


