PBT Selangor diarah henti projek, tarik kebenaran merancang jika gagal patuhi syarat

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah menghentikan kerja pembangunan serta menarik balik kelulusan kebenaran merancang (KM) bagi projek yang gagal mematuhi syarat penyediaan dan penyelenggaraan kolam takungan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, arahan itu bertujuan memastikan aspek mitigasi banjir diberi keutamaan dalam setiap projek pembangunan termasuk pembinaan infrastruktur.

Beliau berkata, semua PBT diminta menjalankan siasatan serta menyediakan inventori bagi mengenal pasti projek yang tidak memenuhi syarat berkenaan.

“Aspek banjir akan dijadikan penekanan penting supaya tak ada masalah baharu.

“Kalau tak penuhi syarat kolam takungan dan tak buat penyelenggaraan tersusun, kolam berkeladak, saya arahkan untuk henti tugas dan boleh tarik balik kebenaran merancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Sebelum ini, Amirudin mengarahkan kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu awal bulan ini.

Dalam usaha memperkukuh penyelarasan, beliau berkata perbincangan bulanan akan diadakan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan PBT bagi menangani masalah banjir secara menyeluruh.

Katanya, kelemahan komunikasi dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah berkenaan, justeru penyelarasan antara semua agensi perlu diberi keutamaan.

Beliau berkata, pertemuan itu akan membabitkan JPS, PBT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli majlis dan Yang Dipertua PBT, selain pemantauan projek oleh Exco Infrastruktur, Datuk Izham Hashim.

“Sebab itu saya ingin tukar rentak dengan mengetengahkan isu banjir harus ditangani dan menjadi keutamaan.

“Dalam masa sama, Pandan Indah (EXCO Infrastruktur, Datuk Izham Hashim) akan memantau projek, saya secara komitmen akan mengadakan pertemuan setiap bulan.

“Ini membabitkan keseluruhan pihak termasuk JPS dan PBT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis dan Yang Dipertua supaya kita dapat tangani banjir ini secara menyeluruh,” katanya.

Amirudin turut berkata, beliau akan menyemak papan pemuka banjir setiap bulan dan memanggil agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Sekiranya memerlukan kelulusan segera, katanya, perkara itu akan dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau menegaskan, peruntukan dan dana bukan faktor utama yang menghalang penyelesaian masalah banjir kerana kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah wang selain menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here