KETUA Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali hari ini menegaskan, Klausa 5.1.1 dalam Perjanjian Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat bila dibaca keseluruhan maknanya mudah,Malaysia terikat dengan syarat-syarat Amerika.
Katanya, walaupun Malaysia ada ruang berunding tetapi ia masih meletakkan Malaysia dalam posisi amat berat sebelah.
‘’Persoalan paling utama adalah: Bagaimana pasukan perunding kita biarkan klausa ini mengikat Malaysia sebegini rupa?
‘’Perjanjian ini juga melibatkan nadir bumi dan mineral serta sumber asli. Tanah terletak bawah Senarai Negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia milik negeri secara langsung di bawah Raja-Raja Melayu. Adakah MRR dan Negeri-Negeri dirujuk?,’’ soal beliau dalam kenyataan melalui Facebooknya.
Beliau berkata, memang benar kuasa memasuki perjanjian antarabangsa atau perdagangan antarabangsa ada pada kerajaan persekutuan tetapi isu berkenaan tanah, serta sumber tanah dan mineral ada haknya pada negeri.
‘’ Adakah ini tidak dibuat? Atau difikirkan perlu oleh Kabinet? Menteri juga amat kecewa bilamana pengkritik menyatakan negara tergadai. Marah dan amat terkesan beliau nampaknya. Bergegar dewan Parlimen bila beliau kata Kerajaan tidak akan biarkan seinci tanah negara tergadai. Itu red line katanya,’’ kata beliau.
Muhammad Rafique berkata, gadai atau tidak gadai bukan secara fizikal sahaja kerana penjajahan alaf baru bukan lagi melalui pengambilan tanah secara paksa atau dengan pacak bendera penjajah di tanah orang lain.
‘’Zaman sekarang ia melalui ekonomi. Kuasai cara negara lain berniaga. Kuasai undang-undang dan dasar atau polisi negara lain. Mampukah Menteri dan Kabinet beri jaminan bahawa Malaysia tidak akan ikut syarat-syarat Amerika selepas ini? Pastikah bila Amerika kata nadir bumi tidak boleh biar China atau Russia beli atau teroka, atau gas tidak boleh jual beli dengan Iran, Kabinet akan lawan ?,’’ soal beliau.
Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akhirnya mengesahkan bahawa perjanjian itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.
‘’ Oleh kerana Kabinet telah lulus secara dasar, maka ambillah tanggungjawab secara bersama. Letak jawatan secara jemaah,’’ katanya.


