Tentera Israel bunuh lebih 100 orang di Gaza dalam tempoh 24 jam, Trump kata tindakan Zionis untuk pertahan diri

LEBIH daripada 100 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Selasa dan awal pagi ini, dalam pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober di bawah Pelan 20 Perkara Presiden Amerika Syarikat  Donald Trump.

Israel mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan tembakan ke atas tenteranya di Rafah, namun Hamas menafikan sebarang penglibatan dalam insiden tersebut.

Trump pula menegaskan gencatan senjata yang disokong AS di Gaza tidak terancam  kerana  beliau mendapat maklumat bahawa Hamas membunuh seorang tentera Israel dan adalah wajar untuk Israel membalas serangan untuk mempertahankan diri.

“Jika mereka (Hamas) baik, mereka akan gembira dan jika tidak, mereka akan dihapuskan dan nyawa mereka akan ditamatkan.

“Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada tentera Israel berkenaan, tetapi mereka kata ia adalah tembakan balas dan ia adalah pembalasan bagi tindakan terbabit dan saya rasa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian,” kata Trump.

Sehingga kini, lebih daripada 200 penduduk Palestin telah terbunuh sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, manakala hampir 600 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kempen ketenteraan Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat, dilancarkan pada Oktober 2023 dan disifatkan sebagai perang genosid terhadap rakyat Gaza. Serangan ini telah mengorbankan lebih 68,500 nyawa Palestin, manakala 170,000 lagi cedera.

Sebahagian besar penduduk telah dipindahkan secara paksa, dan kemusnahan infrastruktur tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua. Ribuan masih hilang di bawah runtuhan.

Selain serangan ketenteraan, sekatan Israel telah mencetuskan kebuluran buatan manusia, menyebabkan ratusan rakyat Palestin – kebanyakannya kanak-kanak – meninggal dunia, dan ratusan ribu lagi terancam.

Walaupun kecaman antarabangsa semakin meluas, tindakan untuk mendakwa Israel masih terbatas. Negara itu kini sedang disiasat atas tuduhan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), manakala beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah dikenakan waran tangkap rasmi oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

SEMENTARA itu, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai bukti mencukupi untuk membuktikan bahawa tentera Israel telah melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Ahli suruhanjaya, Chris Sidoti, memberitahu Al Jazeera Arabic bahawa penyiasatan dijalankan selama dua tahun, berdasarkan pengumpulan lebih daripada 16,000 bahan bukti yang didokumentasikan, termasuk foto dan video yang disahkan melalui keterangan saksi menurut protokol ketat PBB.

Suruhanjaya ini ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mei 2021, bagi menyiasat pelanggaran di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel.

Sidoti menjelaskan bahawa suruhanjaya beroperasi dengan cara yang sama sejak empat tahun lalu, iaitu melalui temubual dengan saksi, mangsa, dan pihak lain yang mempunyai maklumat langsung tentang kejadian, selain menggunakan imejan satelit, rakaman video, dan alat forensik digital.

Penyiasatan suruhanjaya bukan sekadar menggambarkan jenayah yang berlaku, tetapi juga bertujuan menentukan pihak yang bertanggungjawab, kata Sidoti.

Beliau mendedahkan bahawa suruhanjaya telah mengenal pasti unit tentera Israel yang bertanggungjawab dalam banyak kes, dan dalam beberapa kes lain, ia turut mengenal pasti individu, komander, serta pegawai kerajaan dan tentera Israel yang mengeluarkan arahan untuk melaksanakan jenayah tersebut.

Menurutnya lagi, laporan suruhanjaya diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan Perhimpunan Agung PBB, dan didedahkan kepada umum — tiada laporan khas yang dirahsiakan.

Mengulas mengenai keraguan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak terhadap hasil siasatan, Sidoti berkata bahawa kritikan hanya datang daripada kerajaan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, manakala suruhanjaya tidak menerima bantahan daripada pihak antarabangsa yang dianggap serius.

Sidoti menegaskan bahawa penyiasatan suruhanjaya dijalankan secara teliti, serius dan berwibawa, serta mencerminkan penerimaan meluas di peringkat antarabangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img