SEORANG lelaki warga Myanmar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown esok atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki warga Australia berusia tiga tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitenden Lee Swee Sake mengesahkan suspek yang berusia 30 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan berkenaan esok,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 20 Ogos lalu ketika mangsa bersama ibu bapa dan seorang lagi adiknya makan di tapak penjaja sementara di Lorong Baharu, Georgetown.
Suspek yang bekerja di sebuah gerai di kawasan itu didakwa menghampiri kanak-kanak berkenaan sebelum melakukan amang seksual fizikal terhadapnya namun tindakannya disedari keluarga mangsa.
Susulan laporan yang dibuat keluarga itu, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek di lokasi kejadian.
Pasangan warga Australia itu dikatakan datang ke Malaysia bagi bercuti bersama dua anak mereka pada 19 Ogos lalu.





