SEORANG pelajar perempuan berusia 19 tahun melahirkan bayi lelaki yang dianggarkan berusia lapan bulan di sebuah tandas asrama institusi pendidikan di Dungun malam Rabu lalu.
Lebih mengejutkan, bayi yang meninggal dunia itu kemudian dibungkus dengan kain sebelum dimasukkan ke dalam beg dan disimpan dalam sebuah loker di asrama berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat bayi itu pada jam 10.48 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan dipercayai mengalami keguguran sebelum melahirkan bayi itu di tandas asrama.
“Selepas melahirkan bayi berkenaan, dia dipercayai membungkusnya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan menyimpannya di dalam loker,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Nik Ab Halim berkata, perkara itu terbongkar selepas pihak pengurusan sebuah masjid menghubungi pengurusan institusi berkenaan dan memaklumkan pelajar terbabit meminta bantuan untuk menguruskan pengebumian bayi itu.
Susulan laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil tindakan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang berlaku.
Katanya, polis turut akan mengambil keterangan daripada saksi berkaitan selain menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
“Polis juga akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.
Mayat bayi kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes ini, tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.





