SEORANG pekerja kontrak penyelenggaraan jalan raya terbunuh selepas dirempuh sebuah lori dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer 18.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima makluman pada 7.30 pagi dan mangsa warga Pakistan berusia 47 tahun sedang melakukan kerja membuat garisan jalan semasa kemalangan berlaku.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang belum dikenal pasti menukar lorong secara tiba-tiba dari kanan ke kiri menyebabkan sebuah lori jenis Luton dari arah Kuala Lumpur ke Skudai dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun di lorong kiri hilang kawalan.
“Lori itu seterusnya melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di lorong kecemasan bagi kerja penyelenggaraan menyebabkan mangsa yang berada di belakang lori Hino mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





