KEBIMBANGAN terhadap pencapaian akademik dan harapan ibu bapa dipercayai menjadi punca seorang pelajar berusia 13 tahun cedera parah akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Kulim kelmarin.
Pelajar lelaki berkenaan ditemukan terbaring berhampiran tangga Blok E sekolah terbabit ketika waktu rehat kira-kira jam 3.40 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru lelaki berusia 48 tahun selepas menemui mangsa di lokasi kejadian.
“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya.
Menurutnya, mangsa turut memaklumkan kepada polis bahawa dia sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya yang berusia 16 tahun dan kini belajar di Tingkatan Empat di sekolah sama.
Katanya, kebimbangan mangsa bertambah memandangkan peperiksaan dijadual berlangsung pada minggu depan.
“Menurut mangsa, peperiksaan akan berlangsung pada minggu depan dan dia bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya,” katanya.
Syamsul berkata, siasatan turut mendapati seorang pelajar perempuan pernah melihat hantaran Instagram Story mangsa sehari sebelum kejadian yang menyentuh mengenai tekanan berkaitan pelajaran dan keluarga.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan dipercayai sudah dipadam.
Kes ini masih dalam siasatan bagi polis mendapatkan gambaran lanjut mengenai kejadian itu.





