SEKURANG-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 22 lagi cedera selepas insiden tembakan berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, Thailand hari ini.
Suspek, seorang pelajar Mathayom 2 (ingkatan 2), kemudian ditemukan maut di dalam kawasan sekolah menengah berkenaan.
Siasatan lanjut membawa polis ke rumah suspek di daerah Bang Bua Thong, di mana mereka menemui mayat datuk dan nenek suspek, masing-masing berusia 73 dan 74 tahun. Kedua-duanya mengalami kesan tembakan di kepala.
Pihak berkuasa percaya pasangan warga emas itu dibunuh sebelum suspek menuju ke sekolah, namun garis masa sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Insiden dilaporkan kira-kira pukul 10 pagi selepas sukarelawan Yayasan Poh Teck Tung menerima laporan mengenai bunyi tembakan di dalam kawasan sekolah, lapor Bangkok Post.

Menurut seorang pelajar, suspek yang memakai pakaian pendidikan jasmani berwarna ungu melepaskan 26 das tembakan di kawasan sekolah. Polis turut menemui 34 butir peluru lagi di lokasi kejadian.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Pattana Promphat, berkata lapan mangsa yang maut terdiri daripada lima guru, suspek serta datuk dan nenek suspek.
Seramai 22 orang cedera, termasuk sembilan yang mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol 9mm dipercayai mengurung diri di tingkat tiga bangunan sekolah sebelum ditemui maut akibat kecederaan yang dipercayai dilakukan sendiri.
Pasukan polis dan penyelamat segera memindahkan pelajar serta kakitangan sekolah ke lokasi selamat, selain mengawal kawasan kampus sepanjang operasi dijalankan.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai supaya tidak menyiarkan siaran langsung kejadian atau menghampiri kawasan sekolah bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi keselamatan dan siasatan.
Pasukan forensik sedang memeriksa lokasi kejadian, termasuk senjata api yang digunakan, selain mengambil keterangan daripada saksi dan individu berkaitan bagi mengenal pasti motif serta menyusun semula kronologi kejadian dalam salah satu insiden tembakan sekolah paling dahsyat di Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Februari lalu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun menyerbu sebuah sekolah di daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, menyebabkan beberapa kakitangan dan pelajar cedera. Pengetua sekolah itu kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, manakala suspek berjaya ditahan polis.
Pada Oktober 2022 pula, seramai 37 orang, termasuk 22 kanak-kanak, terbunuh apabila seorang bekas anggota polis menyerang sebuah pusat perkembangan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu menggunakan senjata api dan pisau.






