Kerajaan akan ikhtiar tingkatkan belanjawan pertahanan negara – PM

KERAJAAN akan terus berikhtiar meningkatkan peruntukan sektor pertahanan negara menerusi Belanjawan 2027, bagi memperkasakan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terbela.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu wajar, bagi menjamin keamanan negara yang disifatkannya sebagai aset paling berharga dan perlu dipertahankan setiap masa.

“Meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara itu adalah perlu dilaksana setiap masa, kerana pertempuran itu tidak berlaku dalam keadaan diduga. Kita tak menunggu umpamanya ada negara isytihar perang baru kita nak berpeluh.

“Sebab itu juga saya mahu pertahankan kaedah pembelian, perolehan senjata dan alat ketenteraan cara teratur, cara telus, elak daripada apa istilah yang orang tak suka iaitu istilah ‘sakau’, beli guna agensi-agensi di luar dengan komisyen yang lebih,” kata beliau berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak Melaka hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penambahan peruntukan tersebut turut merangkumi aspek kebajikan anggota, termasuk usaha menambah baik kuarters perumahan, pembinaan hospital baharu serta penyelenggaraan kemudahan asas seperti bekalan air.

“Sebab itu Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga tahun yang lepas, kita naikkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan itu 35 peratus lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Ini bukannya angka kecil. Cuma ia tidak diketahui. Sebab itu saya beritahu kadang-kadang anak-anak harus tahu. Orang boleh bicara kita nak sokong, kita beri kerjasama, kita beri perhatian. Tapi perhatian apa kalau kelengkapan itu (dibiarkan) buruk, kalau cara perolehan itu penuh dengan kontroversi,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata usaha meningkatkan peruntukan itu boleh dilakukan melihatkan kepada gambaran ekonomi negara yang bertambah baik, disokong pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan asing serta kadar inflasi yang terkawal.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan pada 9 Okt.

Pada majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM147,000 kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) serta dana RM1 juta bagi tujuan penyelenggaraan masjid dan surau di empat kem tentera di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img