Pelekat kod QR Jualan Rahmah akan dipasang di lokasi tumpuan mulai 1 Oktober

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memasang pelekat khas kod QR Takwim Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di lokasi tumpuan awam di seluruh negara mulai 1 Oktober ini bagi memudahkan rakyat menyemak jadual dan lokasi jualan berdekatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemasangan itu meliputi pasar awam, pasar tani dan tamu, dewan serta pusat komuniti, terminal pengangkutan awam, rumah ibadat, institusi keagamaan dan premis perniagaan, tertakluk kepada persetujuan pemilik atau pengurusan premis.

“Bermula 1 Oktober ini kita akan melekat pelekat khas takwim PJRM ini di tempat-tempat tumpuan awam termasuklah di rumah-rumah ibadat, begitu juga di pejabat, premis-premis kerajaan, di stesen-stesen bas tertakluk kepada permintaan dan juga persetujuan pemilik premis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar hari ini yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, lapor Buletin TV3.

Armizan berkata, maklumat penganjuran PJRM ketika ini boleh disemak menerusi laman sesawang pjrm.kpdn.gov.my dan aplikasi Info Jualan Rahmah MADANI yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store serta Apple App Store.

Katanya, PJRM menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat dan sudah dijadikan inisiatif tetap kerajaan dengan peruntukan khusus sejak 2024 selepas dirintis setahun sebelumnya.

Sejak Januari 2023 hingga 23 September lalu, PJRM merekodkan lebih 81 juta transaksi, termasuk 9.2 juta transaksi pada 2023, diikuti 12.8 juta pada 2024 dan 27.5 juta pada 2025. Bagi tahun ini, sebanyak 31.8 juta transaksi direkodkan setakat 23 September lalu.

“Jadi kita harap supaya rakyat dapat memanfaatkan inisiatif ini dan pada masa yang sama kita mengharapkan supaya Kementerian Kewangan (MOF) dapat memberi pertimbangan kepada syor kita supaya ditambah lagi peruntukan untuk tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata, PJRM kini dilaksanakan setiap bulan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon Wilayah Persekutuan dengan sasaran minimum tiga penganjuran sebulan bagi setiap DUN atau zon.

Pelaksanaannya turut membabitkan 3,000 rakan strategik peruncitan di seluruh negara menerusi jualan dalam premis, luar premis dan bergerak, selain penganjuran bertema sempena musim perayaan, hari gaji serta pembukaan sekolah.

Armizan berkata, peruntukan keseluruhan di bawah agenda Payung Rahmah meningkat daripada RM300 juta ketika dimulakan pada 2024 kepada RM600 juta tahun ini, namun pertambahan diperlukan bagi membolehkan program berkenaan dilaksanakan dengan lebih kerap.

“Jadi peruntukan subsidi kepenggunaan, bantuan sosial, bantuan kebajikan itu saya fikir tidak ada kompromi. Kita mengharapkan kerajaan, MOF khususnya dapat terus menyalurkan peruntukan untuk Belanjawan 2027 sungguh pun kita maklum MOF berhadapan dengan satu cabaran iaitu ruang fiskal kerajaan,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here