Polis sahkan identiti mangsa keempat maut nahas Viva rempuh belakang lori

POLIS hari ini mengesahkan identiti mangsa keempat yang maut dalam kemalangan di Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu awal pagi ini sudah dikenal pasti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mangsa keempat yang maut dalam kejadian jam 2.30 pagi itu adalah Junior Allyson Julius, 20.

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan membabitkan Perodua Viva yang merempuh belakang sebuah lori di Taman Jaya Diri di Sepanggar, Kota Kinabalu awal pagi tadi. GAMBAR: Info X

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang sebelum ini disahkan meninggal dunia ialah Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24, dan Axelord Nigel Alexander, 21.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva yang dipandu Ryanniel dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebuah lori serta Perodua Aruz.

“Akibatnya, lori itu terdorong ke hadapan lalu menghimpit sebuah van. Seterusnya, van berkenaan terlanggar Proton X50.

“Keempat-empat mangsa yang tersepit di dalam Perodua Viva kemudiannya berjaya dikeluarkan anggota bomba.

“Kesemua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka merempuh empat kenderaan termasuk sebuah lori yang diparkir di Jalan Sepanggar berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar di Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Kereta dinaiki empat mangsa itu dipercayai terbabas sebelum merempuh belakang lori dan tiga lagi kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi kejadian.

Menurut Syed Lot, mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here