PEMANDU bas ekspres yang dikaitkan dalam insiden meriba seorang wanita ketika memandu baru-baru ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin petang ini untuk memberi keterangan.
Lelaki berusia 36 tahun itu dilihat tiba di pekarangan IPD Jasin kira-kira jam 4.30 petang bersama teman wanitanya dengan menaiki kereta Proton Persona yang dipandu individu lain dipercayai ahli keluarga.
Kehadiran mereka berdua yang sedondon memakai pelitup muka berwarna biru dipercayai bagi membantu siasatan berhubung insiden tular yang mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan penumpang.
Media semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan polis sudah menghubungi kedua-dua individu terbabit, termasuk wanita berkenaan dan mereka memberi jaminan untuk hadir di IPD bagi membantu siasatan.


