SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kerambit dan cuba membunuh seorang inspektor polis pada Sabtu lalu.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fairus Abdullah, 31, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Esmal Fhahmie Abd Malek, 40, dengan kerambit di Tanjung Kling kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak agresif ketika cuba ditahan polis, termasuk mengugut untuk membunuh anggota polis dan menghayunkan senjata sebelum berjaya ditahan selepas tembakan amaran dilepaskan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan tahun bagi kes cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi kes memiliki senjata, dengan kedua-duanya berjalan serentak dari tarikh tangkapan.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap tiga pertuduhan lain termasuk ugutan jenayah, mencederakan anggota polis dan menghalang penjawat awam, yang juga berjalan serentak.
Semua kesalahan itu dilakukan di rumah tidak bernombor di Batu 8, Pengkalan Perigi, Tanjung Kling kira-kira jam 9 malam pada 9 April lalu.


