PEMANDU lori yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, semalam disahkan mengalami serangan jantung ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaannya mengundur dan merempuh sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang semalam membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta Honda.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa, lelaki tempatan berusia 64 tahun sedang dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih sebelum mengalami serangan jantung ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat serangan itu, lori dipandunya mengundur lalu melanggar sebuah kereta Honda yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun yang berada di belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang hari ini mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat saluran jantung tersumbat.
Beliau berkata, kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 1959, manakala kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan,” katanya.






