SEORANG pemandu lori tangki maut selepas terkena libasan kabel dawai yang tercabut ketika kenderaannya ditarik jentolak di sebuah tapak kuari di Hutan Simpan Sungai Lalang di Hulu Langat pada 20 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, mangsa ketika itu menjalankan tugas menghantar bekalan diesel ke kawasan kuari berkenaan.
Menurutnya, lori tangki dipandu mangsa tersangkut ketika mendaki laluan berbukit menuju ke kawasan penyimpanan diesel.
“Lori itu kemudian ditarik menggunakan kabel dawai jentolak. Bagaimanapun, kabel berkenaan tercabut sebelum melibas mangsa yang berada di hadapan lori.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden berkenaan, JKKP mengeluarkan notis larangan terhadap aktiviti terbabit berikutan kegagalan pihak syarikat menyediakan sistem kerja selamat bagi proses penghantaran diesel ke tangki simpanan.
JKKP berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada pihak majikan dan prinsipal.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 18A(1) dan Seksyen 18B(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menurut jabatan itu.





