SISTEM Amaran Awal MySiren berpotensi diperluas penggunaannya bagi menyampaikan maklumat kecemasan termasuk kejadian tanah runtuh, gempa bumi serta kes kehilangan individu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sistem itu turut boleh dimanfaatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut keperluan agensi masing-masing.
Menurutnya, MySiren boleh menyalurkan maklumat kepada penduduk di kawasan berisiko, termasuk arahan berpindah sekiranya berlaku bencana seperti banjir kilat dan tanah runtuh.
“Sebagai contoh, jika berlaku banjir kilat atau tanah runtuh, sistem ini boleh digunakan untuk mengarahkan penduduk di sesuatu kawasan berpindah,” katanya pada sidang media selepas Sesi Ujian Sistem Amaran Awal MySiren Seluruh Negara di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama dengan PDRM juga akan diperluas bagi membolehkan sistem berkenaan menyampaikan maklumat berkaitan kes tertentu, termasuk individu yang dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, beliau berkata MySiren akan beroperasi selama 24 jam bagi memastikan amaran dapat disampaikan kepada orang ramai pada bila-bila masa.
Beliau turut meminta NADMA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan ujian sistem itu dilaksanakan setiap tahun pada Oktober bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai fungsi MySiren.
Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan ujian tahunan itu masih belum dimuktamadkan, dengan 1 Oktober antara tarikh yang dicadangkan.





