‘DAP adalah jantung berdenyut , hati nurani Kerajaan MADANI’’ – Syahredzan

DAP perlu kekal dalam Kabinet bagi memastikan pentadbiran kerajaan terus berada pada landasan reformasi, kata Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan.

Syahredzan menegaskan  tindakan DAP meninggalkan Kabinet akan menjejaskan agenda reformasi kerajaan secara serius, selain memberi kesan terhadap usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi manifesto pilihan raya.

“Alasan paling penting mengapa DAP perlu kekal adalah untuk memastikan kerajaan ini terus berada di landasan reformasi.

“DAP adalah jantung yang berdenyut dalam pentadbiran ini. Kami adalah hati nurani kerajaan MADANI. Kami adalah pihak yang memastikan kerajaan ini terus berada di landasan yang betul,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata, reformasi bukan sekadar slogan atau janji manifesto bagi DAP, sebaliknya ia merupakan sebab parti itu berjuang selama bertahun-tahun ketika berada di blok pembangkang.

Syahredzan berkata, beberapa reformasi telah berjaya dilaksanakan, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan terhadap Akta Audit, penubuhan Majlis Media Malaysia serta Akta Bantuan Guaman dan Pembela Awam.

Beliau turut menyenaraikan beberapa reformasi di Parlimen, termasuk pelaksanaan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, pemberian kuasa lebih besar kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen serta perbahasan mengenai laporan penting seperti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Ketua Audit Negara.

Katanya, beberapa rang undang-undang berkaitan reformasi turut dibentangkan pada tahun ini, termasuk rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa dan fungsi Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, serta Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat.

Syahredzan berkata, DAP juga mahu meneruskan usaha melaksanakan reformasi lain, termasuk menggubal undang-undang bagi memastikan peruntukan yang sama diberikan kepada semua Ahli Parlimen, iaitu isu yang telah diperjuangkan parti itu selama beberapa dekad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here