Jika 29 November tiada jawapan, Kerajaan Terengganu akan sita kira-kira 15,000 hektar milik FGV

KERAJAAN  Terengganu memberi tempoh sehingga 29 November ini kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi memberi kata putus berhubung isu perkongsian keuntungan membabitkan tanah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun tidak menerima sebarang bayaran.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah menawarkan 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) sejak April 2024, namun  Felda masih belum mengemukakan sebarang angka cadangan.

“Sejak April 2024 sehingga sekarang, tiada maklum balas rasmi diberikan malah minit mesyuarat lembaga pengarah yang dijanjikan juga tidak diterima.

“Mesyuarat terakhir bersama Felda pada 1 Oktober lalu juga gagal mencapai keputusan kerana mereka tidak membentangkan sebarang angka kepada Lembaga Pengarah,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau Berkata, Terengganu kini menuntut hak sama daripada Felda berhubung hasil perkongsian keuntungan tanah milik kerajaan negeri meliputi 10 ladang milik FGV seluas kira-kira 15,000 hektar.

Katanya,, tuntutan itu tidak melibatkan tanah rancangan peneroka.

“Beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sabah telah menerima bayaran. Justeru kita menuntut hak sama rata. Kerajaan negeri hanya menumpukan kepada penyelesaian melalui perkongsian keuntungan tanpa menjejaskan hak peneroka.

“Kita juga telah memberi kelonggaran kepada Felda termasuk bersetuju dengan tempoh 40 hari, walaupun mereka pada awalnya memohon 60 hari.

“Jika sehingga tarikh akhir tiada sebarang cadangan dikemukakan, kerajaan negeri akan mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan sebelum tindakan penyitaan diambil,” tegasnya.

Untuk rekod, tanah berkenaan yang diusahakan Felda sejak 1985 melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.

Tanah itu telah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri.

Azman turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak milik tanah negeri yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak puluhan tahun lalu.

“Dalam tempoh lebih 40 tahun, Felda menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut tetapi kerajaan negeri tidak pernah menerima hak sewajarnya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img